News Gallery


SISWA UTeM CIPTA KENDERAAN DUA ALAM BERKUASA SOLAR (2012)

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus memberi galakan dan sokongan dalam usaha menyemarakkan budaya inovasi tinggi dalam kalangan warga kampus ini sejajar dengan hasrat kerajaan.

Sejajar itu Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) UTeM dengan kerjasama bersama Persatuan Pelajar FKE telah mengadakan pertandingan ‘Anura Vehicle Challenge’ (AVC) 2012 bertemakan “Solar Energy: Driving Toward The Future”.
Pertandingan AVC ini berlangsung di perkarangan bangunan FKE, Kampus Induk UTeM Durian Tunggal baru-baru ini.

Majlis perasmian telah dirasmikan oleh Dekan FKE, Prof. Madya Dr Zulkifilie Ibrahim dan dihadiri oleh ramai staf dan pelajar yang begitu teruja untuk menyaksikan pertandingan sebegini.
Menurut Prof Madya Dr. Zulkifilie berkata, pertandingan ini diadakan bertujuan bagi mencungkil bakat,  kreativiti seterusnya membentuk budaya inovasi tinggi dalam kalangan pelajar dan kakitangan.

 “Pada peringkat akhir pertandingan, para peserta diuji keupayaan jentera hasil rekaan mereka dengan menggunakan tenaga solar bagi dua keadaan persekitaran yang berbeza iaitu darat dan air”. Tambah beliau lagi, pertandingan ini diadakan di peringkat fakulti sebagai persiapan bagi menyahut kejohanan yang lebih besar iaitu Amphibious Electric Vehicle 2012 anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada bulan September nanti.

“Di samping itu memberi pendedahan teknologi kepada para peserta untuk membina kreativiti, kemahiran berfikir dan kebolehan menyelesaikan sesuatu tugasan mengikut spesifikasi yang ditetapkan”. Konsep yang diutamakan dalam pertandingan ini adalah Teknologi Hijau yang merupakan salah satu bidang teras UTeM.

“Kompetensi antara pelajar dapat dipupuk melalui program sebegini selaras dengan matlamat universiti yang ingin melihat para graduan mereka lebih kompetitif di peringkat industri dan mampu bersaing dengan graduan universiti lain”, ujar beliau lagi.

Sebanyak 16 penyertaan telah diterima masuk untuk peringkat akhir, dan hanya empat kumpulan yang layak ke peringkat akhir.Pelajar jurusan mekatronik telah mengungguli pertandingan ini kerana telah membolot kedua-dua hadiah utama iaitu tempat pertama dan rekabentuk terbaik.
Tempat pertama diungguli oleh kumpulan EVA 01(Wong Han Siong, Tan Weng Chun dan Foo Jia Jiann) dan rekabentuk terbaik telah dimenangi oleh kumpulan ARENA LTH (Loke Kien Yeow, Hee Wai Keat dan Tan Chia Wei).

Ketua kumpulan EVA 01, Wong Han Siong berkata, mereka begitu teruja dengan pertandingan ini dan telah bertungkus lumus mencari idea bagi menjuarai pertandingan ini, malah mereka turut berbangga kerana FKE UTeM mampu menganjurkan pertandingan sebegini dan pastinya ini akan memberi faedah yang sangat berguna untuk para pelajar




------------------------------------------------ 


FKM UTeM UNGGULI KEJOHANAN AMPHIBIOUS ELECTRIC VEHICLE (AEV) PERINGKAT KEBANGSAAN (2011)

Sepasukan pelajar daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengungguli Kejohanan Perlumbaan Kereta Amfibia Elektrik (Amphibious Electric Vehicle) yang dianjurkan oleh Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) baru-baru ini.
Kejohanan yang dianjurkan menguji peserta dari institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara untuk menghasilkan model kenderaan amfibia yang dapat bergerak pantas di atas darat dan air serta dijanakan sepenuhnya oleh kuasa elektrik.

Sebanyak 33 pasukan telah mengambil bahagian dan pemenang ditentukan dengan catatan masa terpantas melalui trek sejauh 10 meter meliputi lima meter di atas darat dan kemudiannya memecut lima meter di atas air.

Pasukan yang dinamakan UTeM ZRT-JA yang terdiri daripada pelajar Jabatan Automotif FKM dinobatkan sebagai johan kebangsaan dengan catatan masa 7.59 saat. Menurut ketua pasukan UTeM ZRT-JA, Amjad Saddar Md Isa berkata, pasukannya menggunakan sepenuh pengetahuan dan teori yang diperolehi di dalam kelas untuk menghasilkan kenderaan amfibia yang dapat bergerak pantas dalam dua medium yang berbeza.

“Saingan daripada pasukan lain amat hebat namun kami amat bersyukur kerana model kenderaan yang direka dapat berfungsi dengan baik dan membuahkan hasil,” kata Amjad yang ditemui pada akhir saingan itu.Jelasnya lagi, konsep pengajian berteraskan aplikasi yang diamalkan oleh UTeM memberi banyak kelebihan kepada pasukannya dalam membina model amfibia untuk pertandingan tersebut. Sementara itu, Ketua Jabatan Automotif FKM, Dr. Muhammad Zahir Hassan yang juga Penasihat Teknikal pasukan UTeM ZRT-JA bersetuju dengan kenyataan tersebut.

Beliau berkata, “Pendekatan pengajian secara praktikal di UTeM memberikan pengalaman istimewa kepada pelajar dan ilmu dapat disampaikan dengan lebih berkesan,” katanya. Menurut Dr. Zahir lagi, pencapaian cemerlang anak didiknya di pertandingan peringkat kebangsaan itu bakal menyuntik semangat lebih ramai lagi golongan muda terutama sekali lepasan SPM dan diploma untuk menceburi bidang mekanikal khususnya automotif yang mempunyai masa depan yang cerah.

Selain pasukan UTeM ZRT-JA yang menjadi johan, satu lagi pasukan daripada fakulti yang sama juga muncul sebagai pemenang di tempat ketiga. Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Datin Nurwahidah Wong Abdullah, Setiausaha Bahagian Pengkomersilan dan Inovasi MOSTI.

------------------------------------------------

PERTANDINGAN AMPHIBIOUS ELECTRICAL VEHICLE MALAYSIA 2011 : PUO RAIH TEMPAT LAPAN TERBAIK (2011)

Pasukan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Ungku Omar (JKM PUO)  telah membuat keputusan untuk menyertai Pertandingan Amphibious Electrical Vehicle (AEV) Malaysia 2011  yang dianjurkan oleh MOSTI. Sebanyak 4 pasukan telah ditubuhkan oleh pasukan JKM PUO untuk menyertai pertandingan Amphibious Electrical Vehicle (AEV)yang dianjurkan ini.

Setelah didaftarkan oleh penganjur maka JKM PUO telah mula  membuat perancangan dalam usaha untuk menghasilkan rekabentuk Amphibious Electrical Vehicle (AEV) bagi menyertai Pertandingan Amphibious Electrical Vehicle (AEV) Malaysia 2011. Empat pasukan telah ditubuhkan di dalam usaha untuk memastikan pasukan JKM PUO berjaya di dalam pertandingan Amphibious Electrical Vehicle (AEV)tersebut.

Walaupun pasukan JKM PUO masih baru di dalam ilmu pengetahuan berkenaan penggunaan teknlologi Amphibious Electrical Vehicle (AEV), namun itu tidak menjadikan sebagai penghalang malahan membakar semangat pensyarah JKM En Zukarnain Jamak serta para pelajarnya berganding bahu dalam usaha merencanakan perlaksanaan model bagi Amphibious Electrical Vehicle (AEV). Model yang dihasilkan perlulah berkebolehan bergerak dengan laju dan pantas di darat dan di air sejauh 10 meter. Model kenderaan seperti ini merupakan sesuatu yang sangat baru bagi pasukan rekabentuk JKM PUO namun dijadikan suatu cabaran yang perlu dihadapi dengan bijaksana bagi merekabentuk model tersebut serta dalam menimba pengalaman.

Para tenaga muda JKM PUO begitu bersemangat di dalam usaha untuk menyertai pertandingan Amphibious Electrical Vehicle (AEV) ini  serta memberi yang terbaik di dalam pertandingan Amphibious Electrical Vehicle (AEV)peringkat Malaysia 2011. Pelbagai usaha dan idea memberi inovasi di dalam menghasilkan bot Amphibious Electrical Vehicle (AEV)yang berkualiti dan berdaya saing kepada usaha memantapkan model Amphibious Electrical Vehicle (AEV) yang dihasilkan ini.

JKM PUO mempunyai seramai empat pasukan Amphibious Electrical Vehicle (AEV) bagi menyertai Pertandingan Amphibious Electrical Vehicle (AEV) Malaysia 2011 tersebut dan akhirnya berjaya disiapkan untuk dipertandingkan. Walaupun tiada pengalaman di dalam Pertandingan Amphibious Electrical Vehicle (AEV) tersebut namun setiap langkah dalam menyertai pertandingan Amphibious Electrical Vehicle (AEV) dijadikan sebagai batu asas untuk menimba pengalaman sebanyak mungkin berkenaan teknologi hijau.

Pasukkan JKM PUO berusaha bersungguh-sungguh pada hari pertandingan Amphibious Electrical Vehicle (AEV) Malaysia 2011 yang berlangsung selama sehari dan di dalam litar yang disediakan iaitu 5 meter darat dan 5 meter di air. Pertandingan tersebut ternyata menguji kemampuan fizikal, mental dan keupayaan para pelajar JKM PUO dalam usaha menyertai Pertandingan Amphibious Electrical Vehicle (AEV) tersebut.

Terdapat sebanyak 33 pasukan yang menyertai Pertandingan Amphibious Electrical Vehicle (AEV) Malaysia 2011 yang disertai oleh para pelajar IPT seperti UiTM, UPSI, UTEM, Uniten dan sebagainya. Pertandingan Amphibious Electrical Vehicle (AEV) Malaysia 2011 ini ternyata begitu sengit  dan rintangan yang amat sukar buat pasukan JKM PUO apabila salah satu daripada pasukan JKM tidak dapat melayakkan pasukannya ke peringkat suku akhir. Dengan berbekalkan hanya tiga wakil daripada JKM PUO ke peringkat suku akhir pastinya bimbingan dan nasihat daripada rakan-rakan dan pensyarah menjadi sesuatu yang sangat berguna.

Akhirnya dengan berkat doa dan usaha gigih, satu-satunya wakil JKM PUO  telah berjaya menempaatkan pasukan JKM PUO di peringkat 8 terbaik untuk bersaing bagi merebut kejuaraan yang menawarkan hadiah RM500.  Justeru itu walaupun berada di kelompok 8 terbaik namun sekalung ucapan tahniah kepada pasukan JKM PUO di atas usaha dan kejayaan dicapai oleh pasukan Amphibious Electrical Vehicle (AEV) JKM PUO di atas kejayaan mencapai tempat lapan terbaik di dalam pertandingan tersebut